PERUTUSAN PENGERUSI LEMBAGA
TN. HAJI MOHD AZMAN BIN IBRAHIM @ A.GHANI
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1Koperasi.
Yang dihormati anggota-anggota serta warga kerja koperasi yang saya kasihi sekalian,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya, kita diberi kesempatan untuk melangkah ke Tahun Baharu 2026, dalam masa yang sama mencatat satu detik bersejarah – genap 100 tahun penubuhan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad (KPKP).
Seratus tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Ia adalah bukti kepercayaan, kesetiaan dan kesungguhan generasi demi generasi anggota serta warga kerja koperasi yang telah berkorban tenaga, masa dan idea demi memastikan koperasi ini terus berdiri teguh. Kita hari ini bukan sekadar pewaris nama dan aset, tetapi pewaris amanah, nilai dan tanggungjawab.
Memasuki abad kedua, cabaran kita jauh berbeza. Dunia hari ini bergerak pantas – digitalisasi, kecerdasan buatan, perubahan pola kerja dan tekanan kos sara hidup menuntut koperasi untuk lebih cekap, lebih berani dan lebih inovatif.
Kepada warga kerja koperasi, anda adalah wajah dan nadi koperasi ini. Profesionalisme, integriti dan keikhlasan saudara saudari menentukan kepercayaan anggota. Teruslah bekerja dengan rasa memiliki, bukan sekadar menjalankan tugas.
Kepada anggota koperasi, koperasi ini milik kita bersama. Sokongan, penglibatan aktif dan idea-idea baharu daripada anggota adalah kekuatan sebenar koperasi. Jangan kita jadi penonton kepada koperasi milik kita sendiri.
Saya yakin, dengan perpaduan, kebijaksanaan kepimpinan, sokongan anggota dan kecekalan warga kerja, koperasi ini bukan sahaja mampu kekal relevan, malah menjadi contoh koperasi unggul di peringkat negeri dan negara.
Akhir kata, semoga tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk kita semua, memperkukuh kejayaan sedia ada, dan mencetus lebih banyak inovasi dalam gerakan koperasi. Selamat Tahun Baharu 2026. KPKP terus kekal relevan.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

