Perutusan Pengerusi

Perutusan Pengerusi 2019/2020
EN. AHMAD SHARIFUDDIN BIN HAJI SALLEH PKC.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan taufik dan hidayahNya maka kita sekali lagi telah diberi kekuatan untuk sama-sama menunaikan amanah dan tanggungjawab kita bersama ke atas koperasi.

Sebagai mukadimah, sekalong tahniah diucapkan kepada KPKP kerana sekali lagi terpilih sebagai Koperasi Terbaik Kategori Kredit pada Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang yang telah diadakan pada 12 Ogos 2017 di Dataran Simpang Pelangai, Bentong dan lebih manis lagi apabila Pengerusi Lembaga, Encik Ahmad Sharifuddin bin Hj Saleh turut terpilih sebagai tokoh Koperasi dalam Majlis tersebut.

Kegiatan pembiayaan tunai dan kredit pengguna terus dikekalkan sebagai aktiviti utama KPKP disamping perkhidmatan Stesen Minyak dan Kedai Mesra Petronas di Temerloh serta Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) di Kuantan dan Jerantut. Selain daripada aktiviti perladangan kelapa sawit yang diusahakan secara pajakan, KPKP juga menjalankan aktiviti perniagaan restoran dan juga perhotelan.

Bagi tahun 2017, KPKP telah memperolehi pendapatan sebanyak RM9.11 juta berbanding RM9.59 juta yang diperolehi pada tahun 2016 iaitu penurunan sebanyak 5.1%. Penurunan ketara adalah daripada aktiviti jualan, khasnya di stesen minyak (kesan daripada perubahan harga mingguan) dan juga hotel (perniagaan tertangguh kerana kerja-kerja ubahsuai bangunan).

Keuntungan bersih KPKP bagi tahun kewangan 2017 adalah sebanyak 4.00 juta berbanding RM4.98 juta pada tahun 2016 yang membawa kepada penurunan sebanyak 19.6% bagi perbandingan dua tahun tersebut. Seperti yang telah dimaklumkan, keuntungan terjejas berikutan penurunan ketara daripada aktiviti di stesen minyak dan juga hotel disamping tambahan perbelanjaan mesyuarat agung kawasan yang diadakan dua tahun sekali sebagaimana biasa

Saya mewakili Anggota Lembaga memohon ampun daripada Allah S.W.T. dan memohon maaf daripada tuan-tuan dan puan-puan atas kelemahan dan kesilapan kami dalam usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Semua yang baik itu datangnya daripada Allah jua, manakala yang kurang baik itu adalah merupakan kekurangan diri saya sendiri.

Sekian,
Wabillahhitaufik, walhidayah, wassallamulaikum, warahmatullah hiwabarokahtuh.
Terima kasih.

Simple Ways to Smart Solutions!