selamat Sejahtera dan Salam 1 Koperasi. Segala puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jualah kita diberikan kesempatan untuk melangkah masuk ke tahun baharu 2023 selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang tahun 2022.
Meskipun kita mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan, namun ini tidak sesekali mematahkan semangat Anggota Lembaga dan Warga Kerja KPKP untuk merencanakan pembangunan KPKP dengan lebih cemerlang.
Anggota-anggota KPKP yang dihormati dan dikasihi sekalian,
Alhamdulillah, setelah dua tahun mengharungi tempoh pandemik COVID-19, kita kini telah pun memasuki fasa peralihan endemik yang membolehkan masyarakat menjalani kehidupan normal sebagaimana kita nikmati sebelum pandemik COVID-19.
Namun begitu, suka saya menyarankan agar kita semua untuk sentiasa menjaga diri, jaga kesihatan, terutamanya dalam keadaan jangkitan Covid-19 yang masih berlaku di dalam komuniti kita, apatah lagi terdapat jangkitan varian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa buah negara khasnya di China.
Dengan ketibaan tahun 2023 ini, maka bermulalah lagi lembaran baharu dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2023 ini memberikan sinar baharu kepada anggota dan warga kerja KPKP. Oleh itu, saya berpendapat bahawa bagi tahun ini kita perlu berkerja lebih kuat demi melaksanakan perubahan dan transformasi supaya KPKP dapat mencapai pembangunan sebagaimana yang dirancang.
Bagi memastikan KPKP terus dapat bersaing dan mengekalkan prestasi, pihak Lembaga telah merancang untuk menambahbaik perniagaan sedia ada dan menceburi bidang perniagaan baru yang difikirkan mampu menjana pendapatan KPKP.
Aktiviti Ar-Rahnu yang memasuki tahun ke 20 penubuhannya dan kini menjadi antara penyumbang terbesar dalam pendapatan KPKP akan menerima cawangan ke empatnya pada suku tahun pertama ini di Bandar Pusat Jengka dan diharapkan menjadi tunjang pendapatan disamping aktiviti-aktviti yang lain.
Lembaga juga merancang untuk memperkembangkan lagi aktiviti hotel bajet setelah melihat operasi Hotel Espikay di Jalan Mahkota, Kuantan berjalan dengan baik dan sasaran kali ini adalah di Jalan Besar, Kuantan pula dimana bangunan empat tingkat milik KPKP tersebut mampu menjadi daya penarik dan berpotensi untuk menambah satu lagi pendapatan KPKP ditengah-tengah zon pelancongan bandaraya Kuantan.
Selain daripada sumber-sumber pendapatan daripada aktiviti sedia ada khasnya pembiayaan, projek usahasama perladangan kelapa matag di Cherating, Kuantan sedang giat dijalankan dan dijangka mendapat hasil pendapatan seawal tahun 2026 nanti.
Akhir kata, saya ingin warga kerja KPKP lebih optimis untuk kekal memberikan komitmen yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diamanahkan. Selain daripada itu, sokongan dan kepercayaan daripada anggota KPKP amat diperlukan agar matlamat yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan. KPKP tidak akan ujud tanpa adanya tuan/puan selaku anggota. Ayuh, kita terus bekerja bersama untuk meneruskan agenda kemajuan KPKP tercinta ini dengan lebih yakin dan berani bahawa tahun ini ini akan lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Kepada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan, terutama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pahang, Institut Koperasi Malaysia dan ANGKASA diucapkan terima kasih kerana sentiasa memberikan kerjasama, bimbingan dan sokongan kepada KPKP. Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada barisan Anggota Lembaga, para perwakilan, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Audit Dalaman atas usaha dan sumbangan yang telah diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang berterusan demi kemajuan KPKP.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh |